Thursday 12 November 2009

ISU KUTUB SITTAH BERGEMA DI PARLIMEN - 2

0 comments

KUALA LUMPUR 10 Nov. - Zulkifli Noordin (PKR-Kulim Bandar Baharu) menjadi Ahli Parlimen pertama yang diarahkan keluar Dewan sejak sesi sidang Dewan Rakyat Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua, Parlimen Ke-12 bermula pada 19 Oktober lalu.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengarahkan Zulkifli keluar kira-kira pukul 8 malam ini setelah beliau tidak menghiraukan arahannya supaya berhenti mengemukakan soalan-soalan baru ketika Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menggulung perbahasan Bajet 2010 bagi peringkat kementeriannya.

"Yang Berhormat duduk, duduk. Apa Yang Berhormat kemukakan ini adalah isu baru, sepatutnya dikemukakan ketika perbahasan, bukannya sekarang.

"Kita masih ada 16 kementerian lagi yang akan menggulung perbahasan sedangkan masa hanya ada sehingga Khamis sahaja. Nampaknya, Yang Berhormat tidak mahu duduk, jadi saya arahkan keluar Dewan," tegas Pandikar Amin.

Zulkifli sebelum itu, beberapa kali bangun mencelah, sambil menggesa Mohamed Khaled menjelaskan kenapa Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) di Mesir baru-baru ini mengeluarkan surat melarang kira-kira 700 penuntut Universiti Al-Azhar mengikuti pengajian hadis yang disampaikan oleh Mufti Mesir, Syeikh Dr. Ali Jum'ah.

Bagaimanapun, arahan supaya Zulkifli keluar Dewan hanya berlangsung selama kira-kira lapan minit kerana Pandikar Amin kemudiannya mengarahkan bentara supaya memanggil Ahli Parlimen itu masuk kembali ke dalam Dewan.

Sebaik masuk, Pandikar Amin telah memberikan peluang kepada Zulkifli untuk mencelah perbahasan menteri berkenaan untuk bertanya soalan yang dibangkitkan sebelum itu iaitu mengenai masalah yang dihadapi pelajar Malaysia di Universiti Al-Azhar.

Ketika bangun, Zulkifli yang nampaknya kembali tenang memohon maaf kerana cara yang digunakannya untuk mencelah sebelum itu agak kasar.

"Minta maaf kerana saya sebelum ini hanya berpengalaman berhadapan dengan Unit Simpanan Persekutuan (FRU),'' jelasnya.

Sementara itu, Mohamed Khaled ketika membuat penggulungan berjanji akan menyiasat kejadian itu dan pegawai kementerian akan diminta memaklumkan perkembangan siasatan kepada Zulkifli.

Sumber : BERNAMA

Comments

0 comments to "ISU KUTUB SITTAH BERGEMA DI PARLIMEN - 2"

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails
 

Hak Cipta Terpelihara Desak JPMK of Mesir / Republik Arab Mesir